DI sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita yang
menyokongnya. Pepatah dari Barat ini amat tepat dengan kehidupan
personaliti yang terkenal dengan jolokan ‘jutawan internet’, Dr Noor
Irfan Khairi Noor Azmi, 34 atau Irfan Khairi.
Sokongan tidak
berbelah bagi isteri tercinta, Shazrina Yusof, 36, sejak hidup bersama
kira-kira 10 tahun lalu, membolehkan kejayaan dikecapinya hari ini.
Irfan Khairi mula menjadi sebutan ramai selepas kisah kejayaan beliau
bergelar jutawan pada usia 25 tahun hasil daripada perniagaan melalui
internet dipaparkan media. Bertitik-tolak dari itu, Irfan Khairi aktif
menganjurkan bengkel, ceramah dan seminar untuk memberi tip kepada orang
ramai mengenai strategi perniagaan internet yang berkesan.
Tanggungjawab
Shazrina bukan saja sebagai isteri dan membantu Irfan Khairi
menguruskan keluarga dan empat anak mereka iaitu Ilham Abadi, 9; Kasih
Kamilia Abadi, 7; Ikhlas Abadi, 5 dan Cinta Strawberry Abadi, 3, malah
berganding bahu bersama suami untuk melicinkan urusan syarikat yang
ditubuhkan, Irfan Khairi Sdn Bhd.
Berkongsi memori perkenalan
mereka kepada sisipan Sabtu, pasangan ini bertemu di Birmingham, United
Kingdom (UK) ketika kedua-duanya bekerja di sana. Kata mereka,
perkenalan mereka diatur rakan masing-masing.
"Waktu itu, saya
baru saja berpindah ke Birmingham selepas tamat pengajian di University
Staffordshire, UK. Ketika di Staffordshire, saya tidak mempunyai ramai
kawan memandangkan saya sibuk dengan pengajian di waktu siang dan
perniagaan internet pada waktu malam.
"Begitu
juga keadaannya ketika mula sampai ke Birmingham. Saya tidak mempunyai
kenalan pun. Beberapa rakan yang paling awal saya kenal secara kebetulan
adalah kawan-kawan Shazrina. Merekalah yang memperkenalkan kami berdua
yang masih single ketika itu dengan alasan, wajah kami seiras," ujar
Irfan Khairi yang dulu berkhidmat sebagai Pereka Sistem Multimedia dan
Perunding Internet di Birmingham manakala Shazrina bekerja dalam bidang
perhotelan.
Terdorong
dengan saranan rakannya, Irfan Khairi mengambil langkah pertama dengan
menghantar SMS kepada Shazrina seterusnya mengajak beliau keluar
menonton wayang. Shazrina pula tidak menyangka Irfan Khairi berani
mengajaknya menonton filem walaupun baru berkawan dan berbual melalui
SMS. Kala mula bertemu, Shazrina tidak menyangka apa yang dikhabarkan
rakannya mengenai wajah seiras mereka rupa-rupanya bukanlah gurauan
semata-mata.
Filem Toy Story menjadi saksi pertemuan mereka dan sejak itu, mereka semakin rapat dan sering keluar bersama.
Menurut Irfan Khairi, sejak pertemuan pertama lagi, hatinya sudah terpaut kepada Shazrina.
"Saya
rasa beliau baru tahu mengenai hal ini (senyum). Pada awal perkenalan
lagi, saya berasa senang bersamanya dan lama kelamaan mencetuskan rasa
sayang. Keserasian yang wujud membuatkan perhubungan semakin serius dan
tidak lama selepas itu kami mengikat tali pertunangan.
"Selepas
kira-kira enam bulan bertunang dan kebetulan cukup setahun usia
perkenalan, kami kembali ke Malaysia untuk melangsungkan perkahwinan.
Kemudian, kami terbang semula ke UK dan kembali bekerja," cerita Irfan
Khairi.
Kira-kira setahun memulakan hidup berkeluarga di
perantauan, Irfan Khairi dan Shazrina membuat keputusan untuk pulang ke
tanah air selepas melahirkan anak sulung mereka, Ilham Abadi. Jelas
Irfan Khairi, walaupun kawasan Birmingham diduduki ramai komuniti
Muslim, jauh di sudut hatinya, beliau inginkan anak-anaknya membesar
dalam persekitaran yang dekat dengan asal-usul mereka.
"Selain
itu, kami berasakan sudah agak lama kami berada di negara orang dan
sudah tiba masanya untuk pulang ke Malaysia. Lagipun, Shazrina berhenti
bekerja di Hyatt Regency Birmingham dan kami menumpukan sepenuh masa
mengusahakan perniagaan internet yang boleh dijalankan walaupun menetap
di Malaysia," katanya.
Mengenai rutin harian keluarganya,
Shazrina berkata, beliau bangun seawal jam 5 pagi untuk menyediakan
sarapan, membantu anak-anak bersiap dan menghantar tiga anaknya ke
sekolah. Pulang dari menghantar anak-anak ke sekolah, Shazrina
bersarapan bersama suami dan selepas itu, mula melakukan kerja rumah
sambil melayan anak bongsu.
Jika tidak menghadiri bengkel
perniagaan internet, program radio atau televisyen, Irfan Khairi akan
bekerja di bilik yang dijadikan pejabatnya dan turun makan tengahari
bersama anak-anak yang sudah pulang dari sekolah. Kemudian, Irfan Khairi
dan Shazrina akan membawa anak-anak beriadah di taman dan menyambung
semula kerjanya dari jam 10 malam hingga jam 1 atau 2 pagi.
Pada
hari minggu pula, bapa penyayang ini lazimnya terikat dengan komitmen
bengkel atau program seumpamanya. Sekali-sekala apabila berkesempatan,
beliau akan membawa keluarganya membeli belah atau ke taman tema.
"Anak-anak
saya ini, mereka lebih gemar duduk di rumah. Jika diajak keluar
membeli-belah, mereka tidak begitu teruja. Mereka lebih suka bermain
permainan video, menghadap komputer atau bermain sesama mereka," kata
Irfan Khairi.
Jadi rakan kepada anak sendiri
MENYIFATKAN
keputusan membesarkan anak-anak di tanah air serta menumpukan perhatian
kepada perniagaan internet di rumah sebagai langkah tepat, Irfan Khairi
mengakui beliau dan isterinya menikmati banyak kelebihan berbanding
pasangan lain yang bekerja.
Mereka puas dapat melihat tumbesaran
dan perkembangan setiap anak sejak peringkat bayi dan sebahagian besar
waktu dihabiskan bersama. Ini membuatkan hubungan mereka dengan
anak-anak sangat rapat. Malah, dalam berinteraksi dengan anak-anak,
suami-isteri ini lebih suka bertindak seperti rakan kepada anak-anak.
"Itulah untungnya bekerja sendiri, menguruskan perniagaan internet dari rumah. Pengurusan keluarga boleh dilakukan sendiri.
"Kami
makan bersama, menemani mereka ketika belajar atau melakukan kerja
sekolah, menonton televisyen dan DVD, bermain permainan video dan
bermain badminton di padang bersama-sama.
"Biarpun mempunyai
rakan di kawasan kejiranan rumah, anak-anak jarang meminta untuk bermain
bersama rakan mereka itu. Hubungan antara adik-beradik juga cukup
rapat. Malah, di sekolah, Ilham akan pergi rehat bersama-sama adik,"
ujar Irfan Khairi.
Kelebihan sebagai ibu bapa yang bekerja dari
rumah seperti yang dilaluinya sering diberitahu kepada peserta yang
menghadiri bengkelnya. Secara peribadi, Irfan Khairi berpendapat,
alangkah baiknya jika lebih ramai pasangan ibu bapa, sama ada
kedua-duanya atau salah seorang daripada mereka mencari rezeki melalui
perniagaan internet.
Dengan cara begitu, kata Irfan Khairi,
perhatian dapat diluang untuk mendidik anak-anak dengan lebih berkualiti
serta mewujudkan institusi keluarga yang lebih harmoni.
Bagi
pasangan ini juga, selain memberi sumber pendapatan kepada keluarga,
internet turut dimanfaatkan sebagai sumber rujukan dalam kemahiran
keibubapaan.
"Ada masanya, kami akan mencari sumber bacaan di
internet yang berkaitan dengan kemahiran keibubapaan, pendekatan yang
sesuai dalam mendidik anak-anak dan sebagainya.
"Sebagai contoh,
sebelum ini anak saya mengalami sesuatu seperti alahan di kulitnya, saya
rujuk internet untuk mengenalpasti apakah masalah itu, adakah ia serius
hingga perlu dibawa berjumpa doktor atau boleh diubati dengan krim yang
dibeli di farmasi.
"Isteri saya pula sesekali menggunakan
internet untuk mencari resipi enak dan berkhasiat sebagai idea masakan
untuk seisi keluarga,"kata Irfan Khairi.
Ditanya sama ada mereka
berdepan dengan masalah dalam mendidik dan membesarkan anak-anak, Irfan
Khairi dan Shazrina menyatakan, setakat ini, mereka bersyukur kerana
semuanya baik. Namun, mereka tidak mengakui, timbul rasa bimbang
memikirkan cabaran yang bakal ditempuhi apabila anak-anak melangkah ke
alam remaja serta terdedah dengan pengaruh negatif rakan sebaya atau
persekitaran.
"Kami berharap, dengan didikan dan bimbingan yang
kami beri kepada mereka sejak kecil, anak-anak mampu menilai apa yang
baik dan buruk.
"Kami memberi kebebasan kepada anak-anak
melakukan apa yang mereka minati. Sama ada mereka minat ke bidang seni,
teknologi atau sukan, kami akan sentiasa memberi galakan. Semua usaha
gigih yang dilakukan kami selama ini adalah untuk mereka," akhiri Irfan
Khairi.
No comments:
Post a Comment